Warkah
Untuk Anak-anak Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 yang Bakal Meninggalkan Sekolah
|
Untuk kesekian kalinya kami berpeluang berpesan. Pesan ini seperti
pesan-pesan sebelumnya adalah senada seirama. Cuma amat istimewa kali ini
lantaran anak-anak bakal meninggalkan sekolah setelah menghabiskan sisa-sisa
alam persekolahan. Mungkin kami tidak lagi berpeluang menasihatimu selepas
ini.
|
Anak-anak,
|
Kembaramu ke sini dahulu membawa harapan bukan sahaja untuk dirimu
tetapi juga harapan ibu bapa. Maka jangan kau lupa ibu bapamu yang hanya
mengharap kepada kejayaanmu. Malang akan menimpamu jika melupakan mereka.
Malah malang akan bertimpa-timpa jika nanti kau kurang menyerlah dalam
kejayaan memburu ilmu serta melupakan pula ibu bapa.
|
Anak-anak,
|
Saban tahun kami bagaikan pengendali perahu di tambatan dan pangkalan
ini menerimamu dari tangan ibu bapamu. Kami membawamu menongkah arus dan
gelombang, merendah badai dan cabaran menuntut ilmu. Kami akan menghantarmu ke pangkalan yang seterusnya.
|
Jika ada kekurangan kami yang mengguris hatimu, kamilah manusia yang
tidak sunyi daripada kesilapan dan marah kami adalah taruhan kepada keinginan
melihatmu berjaya. Gesaan dan ketidaksabaran kami adalah hambatan waktu yang
kian rapat memburu; bimbang kalau-kalau kau terlena, terleka di jalan ilmu
ini. Tercicir dan gagal adalah korban yang tidak ingin kami lihat. Fahamilah
ayat-ayat cinta kami yang setiap hari bercerita atas kecintaan kepada
profesion dan tugas yang menjadi tanggungjawab yang kian memberat dan sering
dipersoalankan di dunia ini lagi. Di akhirat, jika kami mengkhianati ikrar
dan janji mendidik dan memimpin putera puteri yang dititip sebagai amanah,
soalan dan dakwaannya bakal lebih dahsyat.
|
Jikapun ada penghargaan dan terima kasih darimu, berikanlah dalam rupa
dan bentuk kejayaan yang menjadi penyambung lidah kami untuk membela nasib
anak-anak bangsa akan datang.
|
|
|
|
Anak-anak sekalian,
|
Dapatkah apa yang kau hajati dalam kembara ini? Cukupkah bekalanmu
menghadapi peperiksaan penting yang bakal menyaksikan sama ada kau terus belajar
atau keluar beradu nasib mencari pekerjaan?
|
Kami tetap mendoakan kejayaan dan kesihatanmu menghadapi masa dan
suasana yang sukar. Berat mata kami memandang, berat lagi bahumu yang
menggalas bebanan.Cuma ingatlah bahawa beban ini bukan kamu sahaja yang
menggalasnya tetapi juga semua orang yang terdahulu dan yang akan datang.
|
Apapun yang akan berlaku selepas itu adalah pilihanmu. Ramai orang
memilih tetapi adakah jaminan bahawa pilihan itu tepat? Kami bekalkan untukmu
pelajaran dan didikan yang akan
membantumu membuat pilihan. Pilihlah jika kau telah melihat semua jalan
dengan terang.
|
Juga dengan usaha dan tawakal pilihlah jalanmu. Jalanmu itu nanti
bakal membawamu membina diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Jangan
kau khianati amanah ini. Anak cucu kami bakal bernaung di bawah payung yang
kau sediakan. Pastikan paying itu tak bocor dan kejap dalam genggamanmu.
Bawalah generasi akan datang dengan yakin membina mercu tanda bangsa
berdaulat.
|
Tetapkanlah pendirianmu menjadi manusia yang bukan sahaja baik, tetapi
hebat akhlak dan sahsiah. Kami bakal menyerahkan negara ini untuk
kaucorakkan. Tak mungkin kau mampu mencorakkannya dengan cantik mungkin jika
dirimu sendiri tidak terdidik dengan sifat-sifat mulia.
|
Kalau nak tahu batang tebu
|
Batang tebu halus uratnya
|
Kalau nak tahu orang berilmu
|
Orang berilmu halus perangainya
|
Kata baginda Saidina Ali, ilmu itu bakal menjagamu, sedangkan harta
kamu akan terbeban menjaganya. Ilmu itu tak dapat orang mencurinya, sedangkan harta itu bisa penjangak merampasnya..
|
Membilang bermula satu
|
Bertemu memberi salam
|
Dilipat sebesar kuku
|
Dibentang seluas alam
|
Itulah sifat dan nilai ilmu yang menjadi bekalmu dalam perjalanan
seterusnya.
|
Berbekal jugalah wahai anak-anak dengan sebaik-baik bekalan iaitu takwa.
Dijelaskan lagi oleh Saidina Ali bahawa takwa itu syaratnya takut kepada
Allah, mematuhi tanzil iaitu al-Quran, berasa cukup dengan yang sedikit dan
menyediakan bekal untuk musafir yang jauh.
|
Tanya olehmu adakah kau mampu
mengecapi kecemerlangan dunia dan akhirat? Kita sememangnya khalifah di bumi
tetapi tetap memiliki kewarganegaraan akhirat. Sampai masa berangkat, tiada
lagi jalan kembali maupun berpatah balik mengutip bekalan tambahan. Kita
semua bakal yatim dan dagang mengharap belas ihsan Allah.
|
Pesan ke hujung nyawa, kehujung jalan, ke hujung kembara manusia telah
kami titipkan. Ingat, ingat dan ingatlah.
|
SUMBER DARIPADA GURU BM
|
Tuesday, November 11, 2014
WARKAH UNTUK PELAJAR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment