Wednesday, May 22, 2013

Kata Kunci Rumusan SPM dalam usaha menghasilkan sebuah pendahuluan rumusan yang baik ketika SPM, antara yang perlu dititikberatkan ialah penukaran Kata Kunci dengan kata yang setara. antara kata kuncinya ialah: 1. Sebab/ punca/alasan 2. Kesan/ akibat/ implikasi/ natijah 3. Langkah/ cara/ tindakan/ strategi/usaha/ teknik/ modus operandi 4. Faedah/ kelebihan/ manfaat/ kekuatan/kepentingan/ kemaslahatan. 5. Peranan/ fungsi/ tanggungjawab/ tugas/ kewajipan 6. Kekangan/ halangan/ rintangan/batasan/masalah 7. Kelemahan/ keburukan/ kekurangan 8. Ciri-ciri/ sifat-sifat/ kriteria 9. Usul/cadangan/ pendapat/ pandangan contoh soalan: Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faedah menyertai Program Latihan Khidmat Negara dan langkah-langkah untuk menggalakkan remaja.Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan. jawapan: Petikan membincangkan kelebihan menyertai Program Latihan Khidmat Negara.
STPM Baharu : Bahagian B - Pemikiran Kritis dan Analitis PEMBACAAN KRITIS DAN ANALITIS Pembacaan Kritis dan Analitis merupakan bahagian baru yang terkandung dalam sukatan pelajaran STPM Baharu bermula sesi 2012-2013. Bahagian B ini dipelajari dan dinilai pada penggal 1. Waktu yang diperuntukkan untuk proses P& P bahagian ini ialah 24 waktu. Berdasarkan contoh soalan yang dikemukan oleh MPM, calon akan diberikan petikan yang panjangnya antara 300-350 patah perkataan. Calon perlu menjawab soalan 2 soalan struktur dan 1 soalan esei pendek. Keseluruhan markah bahagian ini ialah 30. Semasa mempelajari bahagian ini, calon seharusnya dapat : (a) menerangkan maksud perkataan, frasa, ayat, atau perenggan yang terdapat dalam teks; (b) mengenal pasti idea dan mesej penulis; (c) membezakan fakta dengan pendapat penulis (d) menyusun dan mengolah idea atau fakta dengan lancar dan berkesan (e) membuat inferens, ramalan, parafrasa, dan kesimpulan; (f) memberikan pandangan, ulasan, atau kritikan terhadap kandungan teks; (g) menggunakan bahasa yang baik dan berkesan Kemahiran yang penting : 1. Pengetahuan bahasa 2. Pengetahuan latar Pengetahuan bahasa membolehkan calon memahami : 1. kandungan teks. 2. Makna perkataan, frasa, klausa dan ayat. Pengetahuan latar pula membolehkan calon memahami kandungan teks yang dibaca. Sekiranya calon memang telah sedia maklum (pernah membaca daripada sumber-sumber lain) tentang kandungan teks yang diberi, maka semakin tinggilah tahap pemahaman terhadap teks yang dibacanya. Kandungan teks mengandungi maksud tersurat dan tersirat Teks yang diberi merupakan sebuah karangan. Oleh itu calon perlu mengesan idea-idea yang terkandung dalam teks tersebut. Calon seharusnya dapat mengesan : 1. Isu 2. Fokus penulisan 3. Isi utama 4. Isi sokongan 5. Kesimpulan Calon juga seharusnya boleh mengenal pasti dan membezakan : 1. Fakta 2. Pendapat 3. Bukti 4. Alasan 5. Cadangan 6 Contoh 7. Dll Seterusnya, pada peringkat lebih tinggi, calon boleh membuat rumusan dan penilaian terhadap kandungan teks tersebut. Kesimpulannya, semasa membaca teks, calon akan melalui proses-proses berikut : 1. Mengetahui 2. Memahami menganalisis 3. Menganalisa ------------------- 4. Merumus membaca secara kritis 5. Menilai
TEKS PENGACARA SAMBUTAN HARI GURU SMK SERIAN 2013. • PENGUMUMAN KETIBAAN. =========================================================================== Mengumumkan ketibaan Yang Berbahagia Encik Sebli anak Silon YDP PIBG SMK Serian, diiringi oleh Tuan Pengetua dan penolong-penolong kanan dan para guru. • LAGU NEGARAKU Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku..Hadirin dan hadirat sekalian diminta berdiri dan bersama –sama menyanyikan Lagu Negaraku . =========================================================================== Terima kasih atas nyanyian sebentar tadi.Hadirin dipersilakan duduk. ISTANA KOTA SEBELAS TINGKAT TEMPAT BAHARU NAKHODA PEKAN SAMA KATA SAMA SEPAKAT HARI GURU MARI RAIKAN. BATU BERNAMA SI BATU BATA TEMPAT HINGGAP SIBURUNG BALAM GURU ITU IBARAT PELITA MEMBERI CAHAYA SETIAP MALAM ANAK KECIL PERGI BERBURU TIDAK TERBIASA DENGAN KERJA YANG SIA DARI KECIL DIASUH GURU AGAR DEWASA MENJADI MANUSIA. BISMILLAHIRAHMANIRAHIM…ASSALAMUALAIKUM , SALAM SEJAHTERA…DAN SELAMAT 1MALAYSIA. • YG BERUSAHA TUAN HAJI RAMBLI BIN ZAINUDIN, PENGETUA SMK SERIAN • YANG DIHORMATI EN.SEBLI ANAK SILON YG DIPERTUA PIBG,SMK SERIAN • YANG DIHORMATI, *ENCIK ENSNAT BIN HAJI SAUARI PENOLONG KANAN SATU *EN GLADDY PETER BIN ABDULLAH PENOLONG KANAN HAL EHWAL MURID, *EN JATAN BEJI, PENOLONG KANAN KOKURIKULUM *TUAN HAJI NOOR AZMAN BAHARIN PENOLONG KANAN PETANG, BARISAN PENDIDIK DAN KAKITANGAN SMK SERIAN YANG DIKASIHI SEKALIAN…SELAMAT HARI GURU DIUCAPKAN KEPADA SEMUA GURU. BERSYUKUR KITA KE HADRAT ALLAH,KERANA PADA PAGI INI KITA DAPAT BERSAMA-SAMA BERKUMPUL UNTUK MERAIKANKAN INSAN YANG AMAT KITA SANJUNGI DALAM MAJLIS SAMBUTAN PERAYAAN HARI GURU PERINGKAT SMK SERIAN BAGI TAHUN 2013..”1 ASPIRASI 1 AGENDA” ITULAH TEMA PERAYAAN HARI GURU PADA TAHUN INI. • BACAAN DOA Panggilan cikgu adalah keramat Bersabar menabur jasa dan bakti Doa dibaca memohon Rahmat Moga Majlis sentiasa diberkati BAGI MENAMBAH KEBERKATAN MAJLIS KITA PADA HARI INI ,MARILAH SAMA-SAMA KITA MENADAH TANGAN UNTUK MENGAMINKAN BACAAN DOA YANG AKAN DLAFAZKAN OLEH AL FADHIL USTAZ KUSAIRI BIN JAWAWI MAJLIS DENGAN SEGALA HORMANYA MEMPERSILAKAN. Amin Amin Ya Rabbal `Alamin MAJLIS MERAKAMKAN SETINGGI-TINGGI PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH KEPADA USTAZ ATAS BACAAN DOA ITU TADI. *************************************************************************** • UCAPAN TUAN PENGETUA TAK MOLEK JIKA ADA ALU TIADA LESUNGNYA TAK BERGUNA JIKA ADA DAYUNG TIADA PERAHUNYA TAK LENGKAPLAH MAJLIS JIKA SUARANYA TANPA BERBICARA. Majlis pada pagi ini dimulakan dengan dengan mempersilakan Yang Berusaha Tuan Hj. Rambli bin Zainudin , Pengetua SMK Serian untuk menyampaikan ucapan alu-aluan. Dengan hormatnya dipersilakan. *************************************************************************** Demikian tadi ucapan aluan oleh Yang Berusaha Tuan Haj Rambli bin Zainudin, Pengetua SMK Serian. Majlis mengucapkan ribuan terima kasih. =========================================================================== • UCAPAN YDP PIBG Bukan rumput sebarang rumput, Rumput penghias tepi halaman; Bukan jemput sebarang jemput, Jemput memohon kata aluan. Seterusnya,majlis mempersilakan yang dihormati YDP PIBG SMK SERIAN,Encik Sebli anak Silon untuk menyampaikan ucapan. Dengan segala hormat dipersilakan. Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih. =========================================================================== • BINGKISAN DARIPADA PK1 Emas tempawan buatmu puteri, Busana indah buat rupawan; Sudilah tuan tampilkan diri, Bersama madah dan bingkisan Dengan ini,majlis mempersilakan Yang Dihormati Encik Ensnat bin Sauari Penolong Kanan 1 untuk menyampaikan bingkisan beliau, dipersilakan. =========================================================================== Majlis mengucapkan ribuan terima kasih. =========================================================================== • PENYAMPAIAN CENDERAMATA Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih,majlis mempersilakan Yang Berusaha Tuan Haji Rambli bin Zainudin,Pengetua SMK Serian untuk menyampaikan cenderamata kepada yang dihormati YDP PIBG SMK SERIAN,Encik Sebli anak Silon Majlis merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga atas kesudian YDP menerima cenderamata itu tadi. • ACARA PEMOTONGAN KEK SEKARANG KITA TELAH SAMPAI KE ACARA PEMOTONGAN KEK OLEH TN PENGETUA DAN PEN.-PEN KANAN,MOHON GURU-GURU KANAN BERSAMA-SAMA BAGI MENGIRINGI PENGETUA UNTUK ACARA PEMOTONGAN KEK. MAJLIS MENGUCAPKAN SETINGGI PENGHARGAAN KEPADA PARA GURU ATAS KERJASAMA YANG DIBERIKAN. ======================================================================== • JAMUAN Terbang rendah burung tempua Hinggap berdua di dahan ara Hidangan di meja sudah tersedia Dijemput tuan menjamu selera Hadirin sekalian dijemput untuk menjamu selera. Dipersilakan =========================================================================== • PERSEMBAHAN PELAJAR Hadirin Yang Dihormati sekalian, Sambil kita menjamu selera ,kita akan menyaksikan dua buah persembahan tarian iaitu tarian tradisonal dan tarian moden daripada pelajar sesi petang dan sesi pagi di bawah bimbingan Cikgu Breeze dan Cikgu Gladwena. Dipersilakan. Terima kasih diucapkan kepada semua pelajar yang terlibat. =========================================================================== • SEKALUNG APRESIASI (PENGHARGAAN) UNTUK GURU-GURU (Pelajar terpilih menyampaikan hadiah kepada para guru) =========================================================================== • NYAYIAN LAGU IBU PERTIWIKU PARA GURU DAN RAKAN PELAJAR YANG BUDIMAN. KITA SEMAKIN HAMPIR KE PENGHUJUNG MAJLIS,SEBELUM KITA BERSURAI MARILAH SAMA-SAMA KITA BERDIRI DAN BERSAMA-SAMA MENYAYIKAN LAGU “IBU PERTIWKU” TERIMA KASIH KEPADA SEMUA ATAS NYANYIAN ITU TADI. • PENUTUP AKHIR KATA TAMATLAH SUDAH MAJLIS KITA PADA TENGAH HARI INI SEMOGA ALLAH MENGANUGERAHKAN ILHAM KEPADA SEMUA GURU UNTUK MENJADI PENDIDIK YANG GEMILANG.SEMOGA BENIH-BENIH KEIKHLASAN BERJAYA DITANAM DALAM SETIAP BATAS HATI PARA GURU,KERANA DENGAN KEIKHLASAN AKAN TERPANCAR KEJERNIHAN DAN KEJAYAAAN ANAK DIDIK KITA.MUDAH MUDAHAN…

Monday, October 13, 2008

Teknik Mengarang

Terampil Mengarang: Membuka Tirai Karangan dengan Pendahuluan[Bersama Profesor Dr Awang Sariyan]

Salah satu syarat komunikasi yang berkesan ialah adanya pengenalan. Bayangkan, misalnya, mesyuarat yang tidak bermula dengan ucapan alu-aluan pengerusi sebagai pengenalan pasti menimbulkan ‘kejutan’ kepada anggota mesyuarat kerana secara tiba-tiba terus membincangkan agenda.Bayangkan juga sebuah rencana yang tidak bermula dengan pendahuluan pasti menyebabkan pembaca meraba-raba mencari inti pati isu yang akan dibicarakan dalam rencana itu.Demikianlah maka pendahuluan atau pengenalan amat penting dalam semua bentuk komunikasi, termasuk karangan.Karangan memang merupakan salah satu bentuk komunikasi, iaitu antara penulis dengan pembaca.Guru memulakan pengajaran dengan pendahuluan yang dikenal sebagai induksi set, misalnya dengan berbincang-bincang atau bersoal jawab ringkas dengan pelajar tentang hal yang ada kaitannya dengan isi pelajaran yang akan disampaikan. Penceramah pun memulakan komunikasinya dengan pendahuluan. Bahkan perbualan biasa pun perlu bermula dengan pendahuluan agar wujud kemesraan dan kesediaan semua pihak yang terlibat dalam perbualan itu.Pentingnya pendahuluan dalam karangan dan semua bentuk komunikasi dapat dikaitkan dengan pentingnya kepala pada jasad manusia. Hal ini demikian kerana pada bahagian kepala itulah terdapatnya wajah atau muka.Wajah seseorang dapat memberikan gambaran watak dan peribadi orang itu. Demikianlah, pendahuluan karangan yang baik dapat memberikan gambaran tentang apakah yang akan dibincangkan dalam keseluruhan karangan itu. Dalam peperiksaan, dengan membaca pendahuluan karangan, pemeriksa sudah dapat memberikan penilaian awal tentang kejelasan calon dalam memahami dan menafsirkan kehendak tajuk atau soalan karangan. Oleh itu, amat penting sesebuah karangan dimulakan dengan pendahuluan, dan pendahuluan itu hendaklah dapat menggarap tajuk karangan itu sendiri.Ada pelbagai cara menulis pendahuluan. Anda boleh menonjolkan isu semasa yang berkaitan dengan tajuk karangan anda. Anda boleh mengemukakan statistik yang mengejutkan atau menarik perhatian (tetapi mesti berdasarkan sumber yang sahih).Anda boleh juga menyorot fakta sejarah yang berkaitan dengan isu yang anda bincangkan. Selain itu, unsur lain yang boleh digunakan ialah petikan, cerita, soalan dan bayangan masa hadapan yang berkaitan dengan tajuk.Contoh pendahuluan yang menggunakan fakta semasa bagi tajuk “Bahasa Rojak ialah: ” Baik dalam media elektronik seperti televisyen dan radio mahupun dalam media cetak seperti akhbar dan majalah, memang banyak terdapat penggunaan bahasa yang bercampur-baur, terutama antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.Bahkan dalam mesyuarat pun berlaku hal yang sama; apatah lagi dalam perbualan biasa sehari-hari. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Dr. Rais Yatim pernah mengibaratkan keadaan penggunaan bahasa seperti itu sebagai ‘sekerat ular sekerat belut’. Bentuk bahasa yang bercampur-campur itu secara popular kini dikenal sebagai bahasa rojak.”Contoh pendahuluan yang menggunakan statistik pula (bagi tajuk “Perlunya Dasar Ekonomi Baharu Dipertahankan) adalah seperti yang berikut: “Dasar Ekonomi Baharu dicetuskan oleh kerajaan sesudah peristiwa hitam 13 Mei 1969 untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan untuk menyusun semula masyarakat Malaysia. Matlamat utamanya adalah untuk memupuk perpaduan kaum melalui keadilan ekonomi, terutama untuk menimbus jurang ekonomi antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera.Namun sesudah lebih 30 tahun dasar itu dilaksanakan, Bumiputera baru mencapai 18 peratus dalam pemilikian ekuiti ekonomi negara, berbanding dengan 30 peratus sasaran yang ditetapkan. Oleh itu, timbul perbincangan agar dasar tersebut diteruskan.”Dengan membaca pendahuluan seperti yang saya tunjukkan di atas itu, pembaca dengan segera mendapat gambaran tentang apa-apa yang akan dihuraikan atau dibincangkan oleh penulis seterusnya, berkaitan dengan tajuk karangan itu. Dalam keluaran akan datang, insya-Allah akan saya berikan beberapa contoh pendahuluan yang menggunakan unsur lain pula. Selamat mengarang.

PEDAGOGI BAHASA MELAYU:
TEKNIK BERKESAN MENULIS KARANGAN
Oleh
Musa bin Sulaiman
Pensyarah Cemerlang
Jabatan Pengajian Melayu
Maktab Perguruan Kuala Terengganu
21030 Batu Rakit, Kuala Terengganu


Sinopsis

Esei ringkas ini memaparkan teknik berkesan menulis karangan dan saranan-saranan kepada para pelajar dan pendidik tentang langkah-langkah yang perlu diambil kira semasa menulis karangan sama ada semasa menjawab soalan peperiksaan semester atau peperiksaan tahunan. Permulaan esei ini membincangkan tanggapan pelajar mengenai karangan, fungsi sebuah karangan dan ramuan-ramuan penting yang perlu ada di dalam karangan .Pengarang juga menjelaskan kepada pelajar mengenai jenis-jenis karangan yang berbagai bentuk dan syarat-syarat penulisan karangan yang baik.Ringkasnya ramuan penting sebuah karangan yang baik itu termasuklah penghujahan yang logik, gaya yang baik , keaslian bahasa dan reka ciptanya yang menarik.. Langkah-langkah awal menulis karangan juga diselitkan pengarang contohnya bagaimana mencipta rangka karangan, mencari idea termasuk perhubungan fikiran ( association of ideas), sudut perbincangan, kemahiran berfikir, peta minda, paragraf , penutup dan contohnya.

Pengenalan:

Ramai pelajar merasakan bahawa menulis karangan bukanlah satu tugasan yang sukar kerana mereka mula didedahkan dengan latihan menulis karangan sejak dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah. Di dalam peperiksaan pula, karangan merupakan satu bahagian terpenting dan wajib dijawab oleh semua calon. Namun begitu, masih ramai lagi pelajar, biar di tingkatan enam sekalipun, yang mempunyai anggapan salah terhadap karang mengarang. Setengah calon menganggap menulis karangan sebagai satu kerja mudah dan setengahnya pula merasakan menulis karangan semacam “ kesenian yang memerlukan ilham dan daya cipta luar biasa.” Ada juga pelajar beranggapan bahawa menulis karangan itu, “ satu penulisan permainan kata-kata indah semata-mata.”
Anggapan di atas walaupun ada kebenarannya tetapi adalah anggapan berat sebelah yang menyebabkan penuntut merasa bosan dan takut terhadap karang mengarang kerana mereka merasakan karang mengarang itu kerja sia-sia atau kerja yang memerlukan bakat yang begitu tinggi. Ini adalah anggapan salah yang perlu diperbetulkan segera.
Karangan adalah alat komunikasi:
Memang benar karangan itu kadang-kadang berupa permainan kata-kata indah, dengan tujuan memberi hiburan kepada si pengarang sendiri atau kepada pembaca secara amnya. Ada juga karangan yang lebih mengutamakan nilai kesenian seperti sastera kreatif, tetapi karang mengarang sama seperti pertuturan atau percakapan, satu cara berkomunikasi atau perhubungan. Kita berkomunikasi kerana kita hendak berhubung dengan orang lain bagi mencapai sesuatu hajat atau tujuan. Melalui percakapan , kita menyampaikan sesuatu maklumat atau mesej ( message ) kepada orang yang dilawan bercakap itu. Demikian jualah dengan mengarang, iaitu kita cuba berhubung dengan orang lain, dengan tujuan untuk menyampaikan maklumat atau mesej kepada pembaca karangan itu.
1.2 Dari segi tujuan atau fungsi , karang mengarang sama seperti pertuturan atau percakapan. Harus diingat bahawa, orang yang fasih bertutur belum tentu pandai menulis karangan. Ini kerana ada perbezaan di antara pertuturan sehari-hari dan ucapan tanpa mengikut teks tertulis dengan karangan. Ini kerana:
Perbezaan medium – pertuturan atau percakapan adalah komunikasi lisan ,
sedangkan karangan adalah komunikasi secara tulisan.
Di dalam komunikasi lisan , mesti ada penerima ( receiver ) dan si penyampai
( transmitter ) berhadapan secara terus menerus dengan si penerima. Dengan lain perkataan si penyampai berdialog secara langsung dengan si penerima tertentu.
Dengan itu, si penyampai dapat mengetahui reaksi ( feedback ) dari pihak penerima secara serta merta, sehingga ia dapat memberi penjelasan dan membuat penyesuaian dan pindaan jika dianggap perlu bagi komunikasi yang berkesan, tetapi tidak demikian halnya dengan karangan kerana karangan komunikasi bertulis. Tidak ada hubungan langsung di antara pihak penyampai dan pihak penerima, malah si penyampai tidak dapat meramalkan siapakah yang akan menjadi audiennya dan tidak tahu pula apakah reaksi dari pihak penerima dengan serta merta. Oleh itu ia terpaksa membuat jangkaan tentang reaksi dari pihak penerima dengan serta merta semasa ia mengarang.
Oleh itu, gaya bahasa di dalam karangan ia bersifat formal, teratur tepat, jelas dan padat daripada gaya bahasa pertuturan.

Jenis-jenis Karangan

Telah diterangkan di atas tadi, karang-mengarang merupakan satu proses penyampaian maklumat atau mesej. Maklumat itu mungkin berupa:
Cerita – yang mengisahkan sesuatu peristiwa yang benar-benar berlaku atau pun cerita rekaan.
Sebuah gambaran – mengenai sesuatu hal, benda, tempat dan
sebagainya ( sama ada dari kenyataan mahupun dari imaginasi).
Sebuah penerangan atau perbahasan mengenai sesuatu topik, persoalan, pendapat atau pandangan .
Jenis cerita ( narrative )- misalnya Kisah hidup Perdana Menteri Malaysia, Peristiwa pahit yang tidak dapat dilupakan dan sebagainya.
Jenis gambaran ( description) - misalnya Suasana sunyi di dalam sebuah gua, Pemandangan indah di Taman Negara dan sebagainya.
Jenis penerangan ( exposition) - Kaedah pengajaran bahasa kedua,
Bagaimana menggunakan makmal bahasa, Sebutan baku perlu diamalkan dan sebagainya.
Jenis perbincangan ( reflective - argumentative ) misalnya Hak asasi manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tidak memainkan peranan yang begitu berkesan dalam dunia sekarang. “Yang kaya menjadi semakin kaya, yang miskin menjadi lebih miskin.” dan sebagainya.
Jenis peribahasa dan kata-kata hikmat
Jenis ucapan, syarahan dan ceramah
Bentuk laporan
Surat kiriman

3.0 Syarat-syarat karangan yang baik:

Kejelasan dan ketepatan:

Isi-isi atau hujah dalam karangan hendaklah disampaikan dengan cukup jelas dan tepat supaya tidak menimbulkan sebarang salah faham atau kekeliruan. Untuk menjaga kejelasan dan ketepatan karangan, perkara-perkara berikut mustahak diingat sewaktu mengarangnya:
Setiap istilah atau konsep yang dipakai itu hendaklah cukup tepat dan betul, tidak mengelirukan. Istilah-istilah yang mempunyai lebih dari satu makna hendaklah diberi definisinya supaya tidak disalah- ertikan oleh pembaca.

Isi-isi atau hujah-hujah yang hendak dikemukakan itu hendaklah disusun dengan baik misalnya mengikut urutan masa, urutan tempat, urutan kepentingannya, urutan kerumitan dan sebagainya. Penerangannya janganlah melompat-lompat, berputar belit sehingga kelam kabut perbincangan itu.

Isi-isi atau hujah hendaklah saling berkaitan antara satu sama lain sehingga merupakan satu “ keseluruhan” ( unity ) , dan bukannya merupakan sekumpulan isi-isi atau hujah-hujah yang terpisah-pisah.

Setiap isi atau hujah yang dimasukkan itu hendaklah dapat memberi keterangan-keterangan atau sokongan kepada pokok perbincangan
( tema) karangan yang berkenaan . isi-isi yang menyeleweng hendaklah dielakkan.
Penghujahan yang logik

Jagalah pertalian logis ( coherence ) di antara isi-isi atau hujah-hujah supaya tidak bertentangan antara satu sama lain. Kesalahan-kesalahan logik seperti ketidakcocokan ( incompatibility ), penghujahan berlingkar-lingkar ( circular argument ) dan sebagainya hendaklah dielakkan.

Gaya yang baik:

Apa yang dimaksudkan dengan gaya itu termasuklah cara susunan isi-isi , kelincinan jalan bahasa, pemerengganan ( paragraphing) , kejelasan tulisan dan sebagainya. Bahasa yang digunakan itu hendaklah tepat, jelas, ringkas, padat dan bernas. Ini bererti pemilihan kata-kata mestilah dilakukan dengan seteliti yang boleh dan betul tatabahasanya. Perlu diingatkan bahawa , “ gaya bahasa yang baik “ tidak semestinya bererti karangan itu penuh dengan apa yang dikatakan ‘ bunga-bunga bahasa “ – terutama sekali bunga-bunga bahasa yang tidak digunakan lagi ( usang ) , lapuk dan kosong tidak bererti langsung. Bunga bahasa boleh dimasukkan pada tempat-tempat yang sesuai, pastikan juga bunga-bunga bahasa tidak terasa dibuat-buat ( iaitu mestilah natural ) dan dapat memberi sumbangan kepada penerangan tema karangan itu.

* Keaslian:

Keaslian kedua-dua isi, bentuk atau bahasa adalah penting. Keaslian isi bererti karangan itu mengandungi idea-idea atau fikiran-fikiran segar, pengamatan dan pemahaman tajam serta mendalam (deep insight) lagi kaya dengan unsur-unsur “ wit “ dan “ homour “ , sehingga karangan itu menarik atau sekurang-kurangnya tidak membosankan. Keaslian bentuk atau bahasa pula bererti karangan itu bebas dari ungkapan-ungkapan yang sudah lapuk ( cliché ) . Keaslian isi hanya boleh dicapai dengan memperkayakan lagi pengalaman hidup serta pengetahuan melalui berbagai-bagai bidang hidup dengan amalan banyak membaca. Keaslian bahasa hanya dapat dicapai melalui latihan menulis yang banyak ( praktikal ). Mempelajari bahasa bukan mempelajari teori-teori sahaja , tetapi teori dan praktikal. Perlu diingatkan bahawa, ketajaman pemikiran dan kemahiran bahasa adalah saling berkaitan rapat antara satu sama lain dan kedua-duanya berkaitan rapat pula dengan ilmu logik. Oleh itu mustahaklah para penuntut mempunyai asas-asas pengetahuan ilmu logik.
Dua buah buku Inggeris berikut berguna kepada mereka yang ingin mempelajari ilmu logik, iaitu buku:
Monroe C. Beardsley, ( 1976 ) Writing with Reason , Logic for Composition, ( New Jersey : Prentice Hall )

Robert H. Thouless, ( 1970 ) Straight and Crooked Thinking,
London: Pan Books Ltd
Cara Membuat Rangka Karangan:

Rangka karangan ialah skim atau rancangan isi-isi penting yang hendak dibincangkan dalam sesebuah karangan . Dalam perbincangan kita mengenai struktur karangan di atas tadi, sebenarnya telah kita menyentuh juga tentang rangka karangan. Perbezaan di antara struktur karangan dan rangka karangan ialah struktur karangan menunjukkan susunan kedua-dua isi penting dan butir-butir keterangannya, sedangkan rangka karangan hanya menunjukkan susunan isi-isi penting sahaja.
Membuat rangka karangan ialah perancangan isi-isi karangan, sebagaimana pentingnya pelan bagi sebuah bangunan. Demikianlah pentingnya rangka bagi sebuah karangan . Adalah mustahil dapat kita menghasilkan sebuah karangan yang baik tanpa membuat rangkanya terlebih dahulu. Oleh itu perlulah kita menguasai teknik-teknik membuat rangka karangan .
Membuat rangka karangan , sebenarnya merancang isi-isi penting karangan. Ia melibatkan dua langkah, iaitu:
Mencari idea-idea yang hendak dibincangkan
Mengatur atau menyusun idea-idea itu secara logik sehingga menjadi sebuah rangka karangan.

Cara-cara mencari idea:

Apabila menghadapi sesebuah tajuk karangan, kita sering terasa sukar mencari “ sesuatu “ yang hendak dibincangkan. Lebih sukar lagi kalau tajuk karangan itu merupakan tajuk perbincangan yang bersifat umum seperti : Sebaran Am, Pilihan raya, Perusahaan Pelancungan dan sebagainya.
Kekeringan idea boleh diatasi dengan memakai dua cara yang tersebut di bawah ini:
Perhubungan fikiran ( association of ideas )

ini bererti kita bermula dari satu idea berkenaan dengan tajuk karangan itu, ia kita terus menurun seberapa banyak mungkin , idea-idea lain yang berhubung dengan idea tadi, kemudian baharulah kita menyusun serta menggolongkan idea-idea itu menjadi sebuah rangka karangan seperti berikut:
Pangkal Idea: Sebaran Am
Surat khabar, majalah, radio, filem, televisyen, isi kandunganya, peranan yang dimainkannya dalam masyarakat moden, penyebaran ilmu pengetahuan yang lebih luas dan tepat, alat hiburan, alat pendidikan, kesan-kesan buruknya penyebaran unsur-unsur tidak sihat, sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat, alat sabotaj, kawalan perlukah?, kebebasan akhbar, akhbar asing dan tempatan mutunya….
( dan seterusnya ).

Berdasarkan idea di atas rangka karangan berikut disediakan :
Sebaran Am

Jenis-jenis sebaran am – surat khabar, majalah, radio, TV, filem……….
Peranan yang dimainkan oleh sebaran am dalam masyarakat moden- sebagai alat penyebaran pengetahuan, alat pendidikan, alat hiburan, alat perhubungan antara kerajaan dan rakyat, alat propaganda… )

Kesan-kesan buruk dari sebaran am.

-menyebarkan unsur-unsur kebudayaan liar, disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai alat sabotaj politik, penyebar fitnah negatif dan lain-lain.
Kebebasan akhbar dan kawalan – kedua-duanya perlu.
Kebebesan mesti ada batasnya; kawalan mesti bersifat positif, iaitu untuk menjaga mutu sebaran am, tetapi tidak sampai menghalang kebebasan rakyat.
begitulah seterusnya.
Masa menyediakan rangka - 10 – 15 minit daripada keseluruhan masa peperiksaan. Masa keseluruhan peperiksaan: 3 jam (STPM) menulis karangan -
1 ½ jam begitu juga SPM - ( 90 minit - 15 minit ( rangka ) , tinggal masa untuk menulis karangan ialah 75 minit.

Penentuan sudut perbincangan:

Tajuk karangan boleh dibincangkan dari berbagai sudut. Contohnya topik Sebaran Am di atas boleh dibincangkan dari segi jenisnya, peranannya, baik buruknya, pandangan orang terhadapnya dan lain-lain lagi. Penentuan sudut perbincangan memudahkan kita mencari sesuatu yang hendak dibincangkan. Apabila mendapat sesuatu tajuk karangan pelajar harus menentukan dari sudut apakah harus ia membicarakannya . Sudut – sudut yang penting diingat adalah seperti berikut:
Asal usul dan perkembangan perkara yang hendak dibincangkan
ii Kedudukan perkara itu sekarang – meningkat, menurun/teruk?
Mana buktinya, ke arah mana perkara itu berkembang?
iii Hubungan perkara itu dengan kehidupan manusia. Pentingkah perkara itu kerpada manusia? Apakah peranan yang dimainkannya?
Baik buruknya perkara itu?
Jenis-jenis perkara itu – contohnya jenis dadah, kenderaan, senjata, sebaran am dan sebagainya.
Pandangan dan layanan orang terhadap perkara itu (misalnya pandangan pro dan kontra, sambutan baik dan bantahan )

Penulis boleh menulis semua aspek di atas atau dua tiga aspek yang dikira penting dewasa itu. Kalau sebaran am sekarang ini boleh dibincangkan tentang penggunaan internet, fax, telex, komputer, TV dan sebagainya.
Bilangan sudut yang hendak disentuh itu biarlah bersesuaian dengan panjang karangan yang diarahkan.
Latihan kemahiran berfikir dan peta minda juga boleh
digunakan di dalam membuat rangka karangan bergantung kepada kemahiran calon itu sendiri.
Pengenalan atau Pembukaan karangan:

Ia merupakan perenggan permulaan digunakan untuk memperkenalkan
tajuk itu secara khusus. Setiap karangan mesti mempunyai pengenalan ini
dan ia hendaklah ringkas dan padat.
Pengenalan itu merupakan beberapa ayat yang dapat merangkumi apa
yang hendak anda sampaikan dalam karangan itu. Ia mungkin
berupa definisi tajuk tersebut, perkara yang hendak anda sampaikan,
atau suatu pendapat umum berkaitan dengan tajuk itu.
Pengenalan itu hendaklah menggambarkan kematangan fikiran dan kefahaman anda tentang tajuk tersebut.
Anda hendaklah menulis pengenalan yang dapat menarik perhatian pemeriksa dan sesuai dengan jenis karangan yang akan anda tulis.

Paragraf ( Perenggan karangan)

Satu isi penting yang dibincangkan , elok ditulis dalam satu paragraf.
Banyaknya paragraf bergantung kepada banyaknya isi yang ada menurut kepentinganya.
Isi yang paling penting diletakkan di dalam paragraf yang pertama dan yang kurang penting di paragraf yang akhir sekali

Penutup Karangan:

Setiap karangan perlu mempunyai penutup atau kesimpulan mengenai segala yang telah anda perkatakan atau merupakan kata putus terhadap pendapat yang telah anda kemukakan
Anda perlu berhati-hati apabilamenulis perenggan penutup kerana ia membayangkan dengan jelas tentang sikap dan pandangan anda
terhadap tajuk itu. Oleh itu penutup karangan hendaklah membawa kepada satu kesimpulan yang lembut tetapi berkesan.
Di dalam bahagian ini anda perlu ingat supaya jangan mengulang isi-isi atau sebahagian daripada isi-isi yang telah anda kemukakan dahulu.

Contoh: Perkembangan Perpustakaan di Malaysia.
Perkembangan perpustakaan di Malaysia amat jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan perkembangan perpustakaan di negara-negara Barat. Jika pengguna-pengguna perpustakaan masih juga berkurangan, selama itu perkembangan perpustakaan di negara kita tidak pesat. Walau bagaimanapun, perpustakaan tetap menjadi simbol untuk meneroka ilmu pengetahuan.
5.0 Menyemak Karangan:
Peringkat ini juga amat penting daripada peringkat yang terdahulu. Oleh kerana anda menulis karangan di dalam waktu yang terhad, sudah tentu terdapat banyak kesilapan yang perlu diperbetulkan.

Semak karangan secara keseluruhannya, dari awal hingga akhir dan membaiki sebarang kesilapan sama ada dari segi tata bahasa, perbendaharaan kata dan ejaan

Dengan cara sedemikian anda dapat mempersembahkan sebuah karangan yang memuaskan dan merupakan hasil kebolehan anda yang maksimum.

Ingat, setiap kesalahan yang ditonjolkan akan dipotong markah seperti ejaan, ayat-ayat tatabahasa, format, urutan isi atau terkeluar terus dari tajuk yang dikemukakan.

Catatan: Esei ini telah diujicuba oleh pihak pengarang di beberapa buah sekolah
menengah di Setiu dan Kemaman, Terengganu di dalam beberapa seminar menjawab peperiksaan STPM dan SPM tahun lalu dan hasilnya sungguh memuaskan.

Bahan-bahan Rujukan:
Ab. Rahman Ab. Rashid , ( 1997 ), Pengajian Melayu I , Selangor : Siri Pendidikan Longman
Asmah Haji Omar, ( 1978 ) Mengarang , Membaca , Membina, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
John Arul Phillips, (1997) Pengajaran Kemahiran Berfikir, Kuala Lumpur,
Utusan Publications & Distributorrs Snd. Bhd.
Kamarudin Haji Husin, ( 1988 ), Pedagogi Bahasa, Selangor ; Longman Snd. Bhd.
………….. (1994 ) KBSM dan Strategi Pengajaran Bahasa, Edisi
Baru, Siri Pendidikan Perguruan, Kuala Lumpur, Kumpulan Budiman Snd.Bhd.
…………..( 1989 ) Pedagogi Bahasa, Siri Pendidikan Longmans, Selangor,
Longmans Snd. Bhd.
Raja Mukhtaruddin bin Raja Mohd Dain, (1980), Kaedah dan Teknik Mengajar
Bahasa Melayu: Dengan rujukan khusus kepada pengajaran Bahasa Melayu,
Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka Ilmu.
Sheikh Othman bin Sheikh Salim, ( 1989 ), Kamus Dewan, (Edisi Baru )
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ramlah Razali, ( 1982 ), Kursus Lengkap Peperiksaan Bahasa Melayu, Petaling Jaya: Pustaka Delta Pelajaran Snd. Bhd.
Tham Ah Mok, Sharidah Sharif, ( 1978 ) Bahasa Malaysia STPM, Selangor: Longman Snd. Bhd.

Karangan
1
Sukatan pelajaran Bahasa Melayu STPM menyatakan bahawa pelajar perlu menulis karangan yang panjangnya antara 650 hingga 700 patah perkataan.

2
Empat tajuk akan dikemukakan dan calon-calon perlu memilih satu daripada empat tajuk.

3
Sukatan pelajaran memperuntukkan 50 markah untuk karangan.

4
Terdapat empat jenis karangan, iaitu:
i. rencana
ii. laporan
iii. ceramah/syarahan/ucapan/pidato
iv memorandum

5
Karangan boleh dibahagikan kepada yang berformat atau tidak berformat. Sama ada ia berformat atau tidak, ia masih mempunyai struktur tertentu. Rumus yang paling umum untuk mencirikan karangan ialah, ia mempunyai pendahuluan, tubuh dan penutup. setiap bahagian itu mempunyai perenggan untuk menyatakan tiap-tiap unit pemikiran.

6.
Apakah yang perlu anda kuasai untuk menghasilkansebuah karya yang baik? Sebagai permulaan, anda perlu faham konsep wacana, laras dan retorik dengan baik, serta mempunyai asas tatabahasa yang mantap.

7.
Sepertimana yang dijelaskan dalam (5) perenggan ialah ``satu kumpulan gagasan (idea) yang didasari oleh satu gagasan utama (idea utama). perenggan merupakan satu unit fikiran yang lengkap.''
Ayat-ayat yang mengandungi idea utama dikenali sebagai ayat topik atau ayat judul. Ayat-ayat lain dalam sebuah perenggan dikenali sebagai ayat sokongan. Ayat-ayat ini berfungsi menghuraikan, menyokong dan memperteguh idea utama dalam ayat topik.
Ayat Topik
Ayat yang menyatakan idea utama atau gagasan utama secara penyataan pendapat atau penyataan niat.
Ayat-ayat sokongan
Ayat-ayat yang menghuraikan, menyokong, atau memperjelaskan idea utama dalam ayat untuk menjelaskan sesuatu. Contoh, statistik, atau petikan daripada sumber tertentu.
8.
Struktur karangan 1-6-1
Sebagai sebuah wacana, karangan terdiri daripada tiga bahagian iaitu pendahuluan tubuh karangan, dan penutup. Berasaskan panjang karangan yang dikehendaki oleh sukatan pelajaran, iaitu antara 650 hingga 700 patah perkataan, karangan anda sesuai menggunakan struktur 1-6-1, iaitu satu perenggan untuk pendahuluan, enam perenggan untuk tubuh karangan, dan satu perenggan penutup.

9.
Teknik yang berkesan untuk menulis karangan di peringkat tingkatan enam ialah menggunakan pendekatan penulisan akhbar, iaitu prinsip Piramid terbalik, atau Piramid songsang.

10
Perenggan pendahuluan mempunyai fungsi tarikan yang penting, yang akan menentukan sama ada pembaca berminat untuk meneruskan pembacaan atau tidak.

11.
Perenggan pendahuluan mesti menggambarkan tajuk karangan yang diberikan untuk anda buat. Ia merupakan gagasan idea yang menjadi inti kepada keseluruhan tubuh karangan anda.

12.
Perenggan penutup berbeza dengan perenggan lain kerana ia berfungsi menyimpulkan buah fikiran dalam satu atau dua perenggan sahaja.

13.
Keutuhan karangan merujuk kepada kebulatan dan kesepaduan karangan. Ia dicirikan oleh sifat-sifat kohesi dan koheren. Kohesi merujuk kepada idea atau isi karangan yang dijalin dengan rapi. Koheren merujuk kepada kesinambungan ayat-ayat atau perenggan-perenggan yang membawa idea-idea yang dipersembahkan.

14.
Beberapa ciri berikut perlu diketahui oleh pelajar dalam proses memantapkan karangan:
i. Diksi - Pemilihan kata yang sesuai dengan tajuk serta laras karangan. Teknik penggunaan medan kata adalah penting. Daripada medan kata itu, anda boleh pula mencatatkan perkataan yang bersinonim, berantagonis dan sebagainya.
ii. Tatabahasa dan ejaan - berhati-hati dengan tatabahasa kerana banyak markah akan ditolak jika berlaku banyak kesalahan tatabahasa. Tunjukkan kematangan anda berbahasa dengan menggunakan tatabahasa yang betul. Sebagai contoh: bezakan dari dan daripada, ialah dengan adalah, dan sebagainya

15.
Persediaan mengarang mengandungi empat kemahiran penting, iaitu:
i. memahami soalan
ii. mengumpul idea dengan tajuk
iii. membuat medan kata/beberapa kata kunci
iv. menyusun idea-idea dan membuat rangka karangan

Format Karangan bM STPM

Karangan Berformat STPM

Format Laporan
Laporan tentang Punca-punca Pencemaran Sungai dan Langkah-langkah untuk Mengatasinya

1 Pengenalan
Air ialah …. Dalam usaha mengupas masalah ini, laporan ini dihasilkan.
2 Jawatankuasa

Pengerusi:
Naib Pengerusi;
Setiausaha:
Ahli jawatankuasa:
3 Punca Pencemaran Sungai
3.1 Aktiviti penternakan
Aktiviti …
3.2 Pusat Pelupusan Sampah
Pencemaran sungai juga berpunca daripada ….
3.3 Aktiviti Perindusrtrian
4 Langkah untuk Mengatasinya
4.1 Kempen kesedaran
4.2 Penguatkuasaan undang-undang
5 Kesimpulan
Laporan disediakan oleh, 30 SEPTEMBER 2008
……………………………………….
ALI Bin OMAR
Pengerusi,
Persatuan Pencintan Alam Sekitar.

-----------------------------------------------------------------------------
Memorandum

MEMORANDUM
Kepada : Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Daripada: Pengerusi Persatuan Taman Cosy A
Tajuk : Bantahan terhadap Kegiatan Judi Haram dan Langkah untuk
Mengatasinya
1 Pendahuluan
Kegiatan judi haram …. Oleh itu, memorandum ini dihantar kepada pihak tuan untuk menyatakan kekesalan penduduk dan langkah-langkah untuk mengatasinya.
2 Penyataan Bantahan
2.1 Peningkatan kadar jenayah
2.2 Peningkatan masalah social remaja
2.3 Kepincangan institusi keluarga dan masyarakat
3 Penyataan Cadangan
3.1 Mengatakan operasi membanteras kegiatan perjudian haram
3.2 Tindakan terhadap pihak yang bersubahat
4 Penutup
Operasi … . Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai ke arah mewujudkan masyarakat yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.
Sekian, terima kasih.
Yang menjalankan tugas, 20 OKTOBER 2008
………………………………………
JAMAL BIN ISMANDI
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Cosy A.

------------------------------------------------------------------------------
Rencana

Tajuk dan penulis
Contoh:
Isu lepak: Punca dan Langkah untuk Mengatasinya
Oleh: Muhammad bin Ajmain
-----------------------------------------------------------------------------


Ceramah
Perenggan pendahuluan
· Perenggan pendahuluan dimulakan dengan pembuka kata yang berupa kata alu-aluan kepada para hadirin mengikut protokol
Isi ceramah
· Isi ceramah ditulis sama seperti karangan biasa.
Kata-kata penghadapan
· Ditulis secara berselang-seli antara perenggan-perenggan isi.
Contoh: Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Hadirin yang dihormati sekalian,dll.
Penutup
· Dimulakan dengan kata-kata yang menandakan bahawa sesi ceramah akan ditamatkan.